1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk
sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan
mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan
diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca
akan mudah diingati.
2) Perbanyakkan membaca Al-Qur'an
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca
Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca
Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti
ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai
teman paling akrab pada sepanjang waktu.
3) Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal
ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat
sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai
solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam
dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan
kekuatan daripada Allah.
4) Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini
bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan
secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat,
tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan
dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang
benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki
tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.
Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa
hanya kepada Allah yang Esa.